Tumpuan :
Nasional

Lelaki parah diserang beruang di ladang sawit

Nik Azhar Daud parah diserang beruang. – FOTO: Ihsan Keluarga

DUNGUN: Seorang lelaki parah selepas diserang haiwan liar dipercayai beruang di Ladang Sawit di Kampung Telembuh Jerangau Sungai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, Nik Azhar Daud, 40, dilapor cedera di belakang kepala, tengkuk, kaki dan lengan kanan serta dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Isteri mangsa, Roshuhaida Mokhtar, 39, berkata, suaminya ke ladang terbabit untuk memeriksa kerbau yang diternak, tidak jauh dari Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

“Suami memang selalu periksa kerbau kerana bimbang kerbau peliharaannya terlepas dan menceroboh masuk ke lebuh raya.
“Dia beritahu ketika duduk berehat minum air, secara tiba-tiba seekor beruang hitam datang dari arah belakang, menyerang dan menggigit bahagian tengkuk suami,” katanya.

Menurutnya ketika pergelutan itu, suaminya sempat mengambil pisau di pinggang dan menikam beruang itu beberapa kali.

“Mungkin kerana terkena tikaman itu menyebabkan beruang terbabit melepaskan suami sebelum melarikan diri. Suami sempat menghubungi abangnya untuk meminta bantuan dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan awal,” katanya.

Abang mangsa, Nik Roslan Daud, 55, berkata, dia menerima panggilan daripada adiknya itu, memaklumkan cedera diserang beruang sebelum bergegas ke lokasi bersama beberapa rakan.

“Jalan masuk ke ladang agak berliku, saya menghubungi Klinik Kesihatan dan meminta klinik hadir dengan ambulans dan menunggu di tepi lebuh raya.

“Adik ketika itu sangat lemah dan saya memintanya mengucap kalimah syahadah sementara menunggu ketibaan ambulans,” katanya yang memaklumkan adiknya kemudian dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Nik Roslan berkata, sebelum ini, ada beberapa kali penduduk terserempak dengan beruang dan biasanya haiwan liar itu tidak menganggu sebaliknya lari ke hutan.

“Saya pun tak tahu kenapa beruang itu boleh bertindak sedemikian (serang manusia),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini