Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lelaki Orang Asli dikhuatiri dibaham harimau

Oleh Akmaliah Razak

GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli dikhuatiri dibaham harimau di Hutan Hulu Sungai Aring (Bukit Hantu), Taman Negara Kuala Koh, Gua Musang, tengah hari semalam.

 

Mangsa, Halim Asin, 37 berasal dari Kampung Aring 5, bersama tujuh ahli keluarganya yang lain termasuk empat kanak-kanak berjalan kaki menyelusuri hutan dari Jerantut ke penempatan mereka.

Menurut menantunya, Kuang Cemetong, mereka telah berjalan melalui hutan sejak enam hari lalu dari Jerantut dan berhenti di beberapa kawasan untuk tidur dan berehat.

Katanya, ketika kejadian lebih kurang jam 11.45 pagi, dia bersama yang lain membersihkan kawasan serta mendirikan khemah untuk berehat sementara manakala mangsa membawa cucunya, Alang Kuang, 7, ke sungai untuk memancing ikan.

Bagaimanapun, pada jam 12 tengah hari, kanak-kanak itu bergegas pulang memaklumkan datuknya dibaham binatang buas dipercayai harimau semasa hendak kembali ke khemah.

Tambah Kuang, bapanya itu mahir dengan selok belok hutan di kawasan berkenaan kerana mereka juga mencari hasil hutan sebagai pendapatan harian.

“Bapa memang biasa juga tapi mungkin dah nasib dia kena, kira hari kejadian dia. Anak saya pula sekarang saya tengok macam trauma dan ketakutan. Dia nak duduk dekat-dekat lah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, operasi mencari dan menyelamat yang bermula pada jam 2 petang tadi melibatkan 30 anggota pelbagai agensi termasuk penduduk kampung.

Katanya, jarak antara Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang diaktifkan di Pejabat Aring 5, ke lokasi kejadian sejauh sembilan kilometer dan operasi agak rumit kerana perlu menyelusuri sungai dan turut menggunakan bot.

“Pada petang ni, pergerakan masuk ke kawasan SAR akan bermula dengan kekuatan 14 anggota pelbagai agensi dan penduduk kampung. Pergerakan pada petang ni akan menggunakan jalan darat lah untuk menyelusuri anak sungai menghala ke kawasan kejadian.

“Esok kita akan dapat bantuan sepenuhnya dari bot-bot penduduk orang kampung dan juga agensi bagi membantu pasukan SAR dengan jarak perjalanan untuk sampai ke tempat kejadian dianggarkan sembilan kilometer yang terpaksa melalui jalan air, jalan darat dan dijangka jarak perjalanan kita lebih kurang 8 hingga 9 jam ke tempat kejadian.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menemui keluarga mangsa dan meninjau persiapan pasukan SAR yang akan terlibat dalam operasi ini.

Loading...
Terkini