comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki Myanmar maut, kaki putus dibaham harimau

Kesan tapak kaki harimau dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian lelaki warga Myanmar dalam kawasan hutan berhampiran ladang cili di Lebuhraya Timur Barat Jeli-Gerik, Batu Melintang, di sini, pagi tadi.-Foto ihsan polis

JELI: Seorang lelaki warga Myanmar maut dipercayai dibaham harimau dalam kawasan hutan berhampiran ladang cili di Lebuhraya Timur Barat Jeli-Gerik, Batu Melintang, di sini, pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui jam 9.15 pagi tadi dengan kesan kecederaan parah pada tubuh selain paha kiri putus selepas lebih 12 jam dilaporkan hilang dari rumah kongsi.

Ini kejadian kedua membabitkan serangan harimau yang meragut nyawa dalam tempoh tiga hari selepas seorang lelaki diserang binatang buas itu kelmarin di kawasan hutan dekat Bersia di Gerik, Perak sebelum mayatnya ditemui jam 12 tengah hari, kira-kira 100 meter dari rumah kongsi.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob, ketika mengulas kejadian hari ini berkata, rakan sekerja mangsa memaklumkan mereka menyedari lelaki itu hilang jam 8.30 malam tadi ketika mangsa berada di belakang rumah kongsi di ladang terbabit.

Rakan mangsa juga, katanya turut mendakwa terdengar bunyi harimau mengaum.

“Mayat mangsa kemudiannya ditemui dalam hutan jam 9.15 pagi tadi iaitu 300 meter dari lokasi rumah kongsi.

“Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis bersama PERHILITAN serta orang awam pergi ke lokasi kejadian untuk tujuan siasatan.

“Laluan ke lokasi kejadian perlu melalui jalan berbukit dan sungai serta kebun sayur. Berdasarkan kesan corak darah sepanjang laluan, mangsa dipercayai cuba melepaskan diri beberapa kali namun gagal,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa juga mendapati terdapat kesan kecederaan gigitan di leher dan rahang di kiri kanan, kesan cakar di belakang badan serta dada.

“Paha kiri mangsa juga putus dan tulang serta kaki kiri ditemui bersebelahan badan mangsa.

“Mayat dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini