AMPANG JAYA: Kertas siasatan lelaki yang ditahan kerana memiliki sepucuk pistol dan 30 butir peluru tanpa permit di sebuah kondominium di Taman Cempaka, di sini, diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek lelaki berusia 34 tahun itu disambung reman dua hari bermula hari ini sehingga Jumaat.
“Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini untuk cadangan pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Harian Metro pada Isnin melaporkan, pergaduhan dengan kekasih membongkar rahsia seorang lelaki memiliki pistol separuh auto tanpa lesen dan permit sah dalam kejadian di sebuah kondominium Taman Cempaka, di sini, Sabtu lalu.
Mohd Azam dilapor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung pergaduhan itu pada 4.10 petang sebelum seorang wanita warga Filipina memberitahu dia bergaduh dengan suspek yang juga teman lelakinya.
Katanya, wanita berkenaan turut memaklumkan, suspek memiliki sepucuk pistol dan menyerahkan sebungkus plastik yang mengandungi bungkusan plastik berisi pistol bersama 30 butir peluru.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.