PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di Jalan Bukit Mentari Selatan, Seksyen 7, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang menemukan seorang lelaki terbaring di lokasi terbabit 7.08 pagi tadi.
“Siasatan dilakukan pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di lokasi kejadian menemui saksi yang melihat mangsa berjalan kaki sebelum jatuh pengsan.
“Mangsa berusia 53 tahun bekerja sebagai pemandu. Ketika kejadian, dia dikatakan sedang berjalan ke rumah majikannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa mempunyai rutin berjalan ke rumah majikannya setiap pagi.
“Siasatan awal dilakukan mendapati tiada unsur jenayah dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan esok.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.