PAPAR: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas van dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung dan merempuh sebatang pokok di Batu 23, Jalan Kimanis – Keningau, pagi tadi.
Mangsa, pemandu van jenis Toyota Hiace, Lee Jia Jun, 32, yang tersepit di tempat duduknya disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Rakan mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun terselamat namun cedera di bahagian pinggang hingga kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis Mohd Johainin Ruslan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.55 pagi.
Sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 28 kilometer dari balai bomba.
“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Van Toyota Hiace tebabas sendiri dan terjatuh di gaung enam meter dari jalan raya. Terdapat dua orang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas (Rescue Tools).
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya mangsa diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut.,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa cedera telah diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) seterusnya diserahkan kepada Ambulans KKM dan di hantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 9.30 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.