KLUANG: Seorang penunggang motosikal yang tersepit di bawah kereta ditemui maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kilometer 59, Jalan Kota Tinggi–Kluang, jam 8.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Muhammad Fareedzul Anuar, 24 yang menunggang motosikal maut di lokasi akibat parah di kepala dan badan.
Katanya, kemalangan berlaku selepas mangsa yang mahu membelok ke Felda Ulu Penggeli dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan.
“Ketika sampai di tempat kejadian mangsa memotong sebuah motokar jenis Perodua Alza yang sedang menunggu di persimpangan untuk belok ke kanan.
“Dalam masa sama, sebuah Perodua Alza lain dari arah Kota Tinggi menghala ke Kluang telah melanggar motosikal terbabit.
“Mangsa yang terjatuh kemudian dilanggar Proton Saga FLX yang menyebabkan mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ketiga–tiga pemandu kereta berkenaan yang berusia 40, 38 dan 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, 12 anggota dan pegawai termasuk daripada pasukan keluaran operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara dan Renggam bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan kecemasan pada 7.47 pagi dan tiba di lokasi pada 8.08 pagi.
Komander Operasi, PBK II Ibrahim Ishak berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9:39 pagi dan mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.