Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut ketika ke masjid untuk solat subuh

Motosikal ditunggang mangsa terbabas ketika dalam perjalanan ke masjid awal pagi tadi – FOTO: NSTP

PAPAR: Seorang lelaki meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.

Nahas berlaku di Jalan Kampung Kelatuan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun, yang menunggang motosikal jenis Modenas cedera parah di muka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, berkata mangsa menunggang motosikal seorang diri dari rumahnya di Kampung Kelatuan menuju ke Masjid Kelatuan yang jarak hampir satu kilometer.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa tergelincir dan terbabas selepas melalui jambatan kayu.

“Mangsa melambung dan jatuh ke atas jalan raya dalam keadaan tertiarap.

“Akibat itu, mangsa parah di muka dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan, media, hari ini.

Ambo berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Papar.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini