GEORGETOWN: Polis mengesahkan kematian lelaki warga Singapura dalam kemalangan kereta terjunam cerun di Jalan Paya Terubong ke Relau, di sini, semalam, tidak membabitkan jenayah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid, ia berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
“Menerusi laporan bedah siasat yang dijalankan, mangsa didapati meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan leher.
“Kita sudah semak dan mendapati tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini
Mengulas lanjut Razlam berkata, mangsa yang juga ejen insurans itu dipercayai sudah lama tinggal di Pulau Pinang.
“Dia sudah lama tinggal di Pulau Pinang namun tidak pasti berapa lama, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Semalam, lelaki warga Singapura yang hilang sejak empat hari lalu itu ditemukan maut berhampiran kereta dipandunya dalam cerun setinggi 45 meter di kawasan bukit.
Mayat mangsa dikenali sebagai Chew Wei Fung, 29, itu ditemukan pada jarak kira-kira empat meter dari kenderaannya.
Mangsa dikatakan memandu kereta jenis Proton Persona milik kekasihnya untuk keluar minum bersama rakan sebelum dilaporkan hilang pada 9 Mac lalu.
Pegawai Operasi Zon Daerah Timur Laut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Muzzamer Mohd Salleh, berkata, terdapat banyak kecederaan pada badan mangsa dan dia mungkin terpelanting atau keluar sendiri daripada kenderaannya selepas kereta itu terjunam ke cerun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.