Oleh: Safwan Sawi
TUARAN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Kindu Tenghilan, Kampung Munsung, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Saiful Suhaimi, 39, beralamat di Kampung Serusup, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihak mereka menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya, kira-kira jam 11.30 pagi.
“Setiba pasukan bomba di tempat kejadian, didapati sebuah kereta jenis Proton Saga lama telah terbabas sendiri dan masuk ke dalam parit.
“Dilaporkan terdapat seorang mangsa tersepit dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” kata kenyataan di sini, hari ini.
Menurut PGO lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah hari.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.