Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut, isteri cedera dalam nahas 3 kenderaan

Toyota Avanza yang terbabit dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 37.5 Lebuhraya Utara Selatan sebelum Plaza Tol Hutan Kampung malam tadi. FOTO: JBPM

ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 50-an maut manakala isterinya cedera ringan dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 37.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Tol Hutan Kampung, Jitra, malam tadi.

Ia membabitkan sebuah treler, Proton Saga dan Toyota Avanza.

Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Bustan Karudin, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 9.26 malam dan tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

“Keadaan di lokasi menunjukkan pemandu Proton Saga yang berusia 50-an meninggal dunia di tempat kejadian. Isterinya yang juga berusia 50-an dilaporkan cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya pemandu kereta Toyota Avanza, lelaki berusia 50-an bersama dua penumpang wanita berusia 20-an serta pemandu treler berusia 40-an, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Manakala mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk rawatan.

Siasatan lanjut mengenai punca kemalangan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini