Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut diserang babi hutan

Johan Yok Boi (gambar kecil) maut diserang babi hutan ketika memburu di kawasan ladang sawit Lombong Selinsing. FOTO: Ihsan Keluarga

Oleh: Fazli Ahmad

KUALA LIPIS: Seorang lelaki etnik Orang Asli maut kerana tertusuk taring babi hutan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man, berkata kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat rakan memburu di ladang sawit di Selinsing, Sungai Koyan dekat sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Menurutnya ketika kejadian mangsa, Johan Yok Boi, 24, dari Pos Sinderut dilaporkan mendekati seekor babi hutan.

Katanya, mangsa kemudian melempar lembing ke arah haiwan itu dari jarak dekat.

“Babi hutan itu kemudian mengamuk dan disebabkan jarak terlalu dekat mangsa tidak sempat melarikan diri.

“Haiwan itu menyerang mangsa dan menyebabkan lelaki terbabit cedera di paha kanan kerana terkena tusukan taring bintang itu.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Sungai Koyan serta dirujuk ke Hospital Kuala Lipis tetapi disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat,” katanya menerusi kenyataan media.

Ismail berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat lelaki terbabit mendapati punca kematian mangsa disebabkan urat besar paha kanan terputus kerana terkena tusukan taring babi.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut akibat serangan haiwan liar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini