Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut dirempuh kereta ketika kawal lalu lintas lokasi nahas

Kereta yang terbabas ke dalam longkang. FOTO: PDRM Bentong / Facebook

BENTONG: Seorang lelaki maut dirempuh kereta ketika mengawal lalu lintas di lokasi kemalangan jalan raya di di Kilometer 69.2, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa dikenali Tan Wing Foo, 47, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong pada jam 7 petang, hari kejadian.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada orang awam, berhubung kemalangan itu pada 5.30 petang.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur terbabas ke dalam longkang lalu beberapa pengguna jalan raya lain berhenti untuk membantu.

“Semasa salah seorang daripada mereka sedang membantu mengawal lalu lintas, datang sebuah kereta yang hilang kawalan merempuhnya dan seorang lagi mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, empat mangsa dihantar ke Hospital Bentong bagi menerima rawatan bagaimanapun Foo maut ketika menerima rawatan.

“Polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika membantu mangsa kemalangan dan dinasihatkan menghubungi konsesi lebuh raya atau talian kecemasan sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini