PASIR PUTEH: Seorang pembantu mekanik maut dipercayai dihempap pemberat getah mesin tali sawat di sebuah kuari di Kampung Jerus, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung seorang lelaki tidak sedarkan diri jam 4 petang.
Katanya, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian dan menemui seorang lelaki tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan mendapati mangsa adalah seorang pembantu mekanik berusia 28 tahun.
“Didapati mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaizul berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa di bawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan meminta mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat menghubungi Ketua Balai Polis Selinsing, Pasir Puteh, SM Suhaimi Abdullah di talian 019-2424434 atau Bilik Gerakan IPD Pasir Puteh (09-7867222).