KLANG : Seorang lelaki maut akibat kereta dipandunya dihempap kontena sebuah lori yang sedang memunggah barang di Taman Sentosa, Klang, Selangor petang tadi.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa berusia lingkungan 40-an yang memandu sebuah kereta dipercayai berlanggar dengan kontena tanpa kepala lori tersebut.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 petang.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan sembilan anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.
Pemeriksaan mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori kontena tanpa kepala yang sedang mengisi barang dan kereta Perodua Kancil.
Kejadian itu mengakibatkan mangsa yang juga pemandu kereta tersepit di bawah kontena tersebut.
Tambah Zulfikar, mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba dalam tempoh 10 minit.
Lelaki itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.