comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut digilis lori, motosikal terlanggar lubang 

Mangsa terlanggar lubang sebelum terjatuh dan digilis treler. Foto ihsan pembaca

KLANG: Seorang lelaki maut digilis sebuah lori treler selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lubang dan terjatuh di persimpangan lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa, lelaki berusia 37 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Shah Alam ke tempat kerjanya di Pelabuhan Utara dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang dari arah Meru menunggang motosikal Honda RS 150R memotong sebuah lori sebelum terlanggar lubang.

“Mangsa kemudian tercampak ke atas jalan dan digilis lori treler yang membawa muatan tiang batu dari arah sama.

 

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

“Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sebarang maklumat mengenai kemalangan terbabit boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Zulkanain Johari di talian 019-5597107,” katanya.

Loading...
Terkini