KOTA MARUDU: Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya, manakala anak saudaranya selamat ketika mandi di sungai Kampung Marudu Darat, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.07 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Menurut maklumat awal dari pemanggil, ada dua mangsa melakukan aktiviti mandi di sungai berkenaan.
“Seorang mangsa lelaki berusia 17 tahun selamat manakala bapa saudaranya berusia 35 tahun dikhuatiri dibaham buaya,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Menurut, pasukan operasi sedang melakukan pencarian di Lokasi kejadian.
“Setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.