ASAJAYA: Seorang lelaki berumur 41 tahun dari Kampung Sampun Tebun di sini maut dibaham buaya dalam kejadian lewat petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat mangsa, Gindek Julau difahamkan telah ditemui oleh ahli keluarganya sekitar jam 4.30 petang tadi.
Katanya, Bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang awam sekitar jam 4.42 petang tadi lalu mengarahkan lima anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Asajaya untuk ke lokasi kejadian.
“Komander operasi lapor sampai di lokasi kejadian terdapat seorang lelaki dewasa yang dilaporkan telah dibaham buaya.
“Mangsa dikatakan telah dijumpai oleh ahli keluarga pada jam 4.30 petang dengan tiada tanda masih bernyawa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.