MARANG: Seorang pekerja am yang dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 35 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, Muhammad Zulhamizan Mohamad Zaidi, 19, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan (KK) Merchang.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Razman Setapa berkata, kejadian membabitkan empat buah kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan tiga kereta.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah kereta dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan melanggar motosikal mangsa yang dipercayai menukar lorong kiri ke kanan.
“Jarak yang dekat mengakibatkan kereta berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal terbabit menyebabkan mangsa terjatuh di tengah jalan sebelum sebuah lagi kereta yang berada di belakang tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa.
“Pelanggaran itu mengakibatkan motosikal mangsa terseret ke bahu jalan dan merempuh belakang sebuah lagi kereta yang berada di bahu jalan,” katanya.
Mohd Razman berkata, kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal cedera parah di kepala manakala semua pemandu kereta tidak cedera.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke KK Merchang namun disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.