Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut dalam nahas dua kenderaan bertembung di Jalan Semporna – Tawau

FOTO: Ihsan JBPM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

SEMPORNA: Seorang lelaki maut dalam nahas kemalangan membabitkan dua kenderaan bertembung di Jalan Kalumpang Kilometer 51, Jalan Semporna – Tawau, di sini, pagi tadi.

Mangsa, 40-an yang juga pemandu van Nissan Urvan dipercayai maut tersepit selepas bertembung dengan sebuah lagi kenderaan Toyota Vigo.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 7.31 pagi.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi dan tiba pada pukul 8.07 pagi iaitu 51 kilometer dari lokasi kejadian.

FOTO: Ihsan JBPM Sabah

“Setibanya di lokasi terdapat dua orang mangsa lelaki tersepit di van Nissan Urvan dan kereta Toyota Vigo yang merupakan pemandu kenderaan berkenaan.

“Van Nissan Urvan dari arah Semporna menuju ke Tawau, manakala kereta Toyota Vigo dari arah Tawau ke Semporna,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurut PGO lagi, pihak Bomba telah bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan Road Traffic Accident (RTA).

Mangsa yang tersepit dalam van Nissan Urvan disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Manakala mangsa, lelaki, 38 tahun yang tersepit di kereta Toyota Vigo mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Semporna dengan menggunakan kenderaan ambulans KKM,” menurut kenyataan itu lagi.

Operasi ditamatkan pada jam 8.50 pagi selepas pemeriksaan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini