Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
MARANG: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 26.5, Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang, berhampiran Wakaf Tapai pada jam 8.49 malam tadi.
Kemalangan mengakibatkan Mohd Eddy Aziezi Mohd Shahid, 32, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Marang, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas.
Dua buah kenderaan lain yang berada di belakang gagal mengelak lalu bertembung dengan kenderaan mangsa.
Sementara itu, sebuah lagi kenderaan terlibat selepas melanggar serpihan yang bertaburan di atas jalan raya.
Seramai tujuh individu terbabit dalam kejadian itu, terdiri daripada empat pemandu dan tiga penumpang lain yang hanya mengalami kecederaan ringan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.