Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut dalam bot fiber tersadai, seorang lagi cedera

Seorang lelaki meninggal dunia manakala seorang lagi cedera selepas ditemui dalam bot fiber yang tersadai di beting lumpur, Pulau Carey, semalam. – FOTO: Maritim Malaysia

SHAH ALAM: Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ditemukan maut, manakala seorang lagi cedera dalam sebuah bot fiber yang ditemui tersadai di beting lumpur di Pulau Carey, Kuala Langat, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad, berkata terdahulu pihaknya menerima aduan orang awam mengenai penemuan bot itu di kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Carey.

Susulan itu, beliau berkata, sebuah bot digerakkan ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

“Setiba di lokasi, penguat kuasa Maritim Malaysia mendapati sebuah bot fiber berwarna biru tanpa nombor pendaftaran, berada dalam keadaan tersadai.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui dua lelaki dalam bot itu yang mana seorang cedera, manakala seorang lagi tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

FOTO: Maritim Malaysia

Abdul Muhaimin berkata, bot bersama dua lelaki itu kemudian dibawa ke Jeti Pontoon Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) turut tiba di jeti dan memberikan rawatan awal.

“Bagaimanapun, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Kedua-dua mangsa didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki warga Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, kes itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk siasatan terperinci.

“Orang ramai yang ada sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pihak berkuasa melalui talian 999 bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini