Tumpuan :
Nasional

Lelaki maki hamun penguat kuasa ditahan

Lelaki yang memaki hamun dan melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa ditahan menerusi Op Bersepadu Sempena Operasi Khas Tahun Baharu Cina (TBC) di laluan motosikal Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, malam tadi. FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Tindakan seorang lelaki memaki hamun penguat kuasa dengan kata-kata kesat membawa padah apabila dia ditahan polis kerana menghalang tugas penjawat awam menerusi Op Bersepadu Sempena Operasi Khas Tahun Baharu Cina (TBC) di laluan motosikal Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang,di sini, malam tadi.

Sebelum itu, lelaki warga tempatan berusia 50 tahun yang menunggang motosikal dengan membonceng teman wanitanya seorang warga Indonesia telah diperiksa anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kira-kira jam 10 malam sebelum didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh.

Bagi kesalahan berkenaan, dia diminta untuk meninggalkan motosikalnya kerana tindakan penyitaan telah diambil, namun keputusan berkenaan menyebabkannya tidak berpuas hati sebelum dia bertindak mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat serta melakukan provokasi.

Lelaki terbabit kemudian ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Pengarah JPJ negeri Zulkifly Ismail, berkata beliau meminta semua pengguna jalan raya memahami tugas penguatkuasaan dilaksanakan.

“Dalam hal ini (operasi penguatkuasaan) kita bukan mahu mencari salah atau menghukum (sesiapa) tetapi ia bertujuan untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Maka saya berharap, semua dapat memahami tugas kami,” katanya kepada pemberita, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, sebanyak 31,122 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi itu dilaksanakan bermula 20 Januari lalu.

Daripada jumlah terbabit, sebanyak 4,105 notis juga dikeluarkan terhadap pemandu gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Operasi selama tiga minggu itu turut disertai agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini