SUNGAI PETANI: Seorang lelaki gelandangan melecur punggung dan kaki apabila tilamnya dibakar ketika dia sedang tidur di hadapan bangunan kedai di Taman Kampian, di sini, malam tadi.
Dalam kebakaran jam 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 62 tahun dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kebakaran turut menyebabkan kaki lima serta pintu kedai akuarium dan sebuah stor musnah sebanyak 25 peratus.
“Hasil siasatan mendapati gelandangan terbabit menumpang tidur di kaki lima premis berkenaan sejak dua tahun lalu.
“Mangsa mendakwa dia tidur di kawasan terbabit selepas mengalami kemalangan dan kini hanya mampu bergerak menggunakan tongkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan terhadap pemilik kedai akuarium pula mendapati lelaki itu sudah tiga tahun membuka perniagaan di kawasan terbabit.
“Pemilik kedai terbabit mendakwa dia tidak mempunyai musuh atau bergaduh dengan sesiapa.
“Pemilik kedai juga memberitahu yang dia tidak mempunyai hutang dengan mana-mana individu dan setakat ini jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya.
Zaidy berkata, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki menunggang motosikal mempunyai tong di belakang berhenti di tepi bangunan berkenaan.
“Lelaki itu kemudian dalam keadaan terhuyung hayang serta terjatuh dipercayai mabuk dilihat berjalan menuju ke arah mangsa.”Rakaman CCTV menunjukkan suspek membakar tilam di kaki lima bangunan sebelum dia melarikan diri dengan menunggang motosikalnya,” katanya.
Menurutnya, mangsa memberitahu dia sedar tilamnya terbakar namun tidak sempat melihat suspek yang melakukannya kerana dia sudah melarikan diri.
“Kita sedang mengesan suspek untuk mengenal pasti motif dia berbuat demikian dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.