MUAR: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik ke dalam parit di Jalan Parit Limbong Darat, Parit Jawa, di sini, semalam.
Kemalangan berlaku pada jam 2 petang menyebabkan mangsa, Mohd Hafis Mohamad Ali, 32, meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Sri Tanjong menuju ke Parit Jawa.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik ke dalam parit.
“Orang awam menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat lemas.
“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.