comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lelaki lemas dihanyut arus deras bersama motosikal  

 

PENDANG: Seorang pemuda ditemui lemas selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh ke dalam sungai di kawasan terusan tengah MADA, Titi Dua Lapis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata kejadian dipercayai berlaku  jam 7.20 petang semalam ketika mangsa, 20, menunggang motosikal seorang diri dari Bukit Raya untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tanjung Radin, di sini.

Orang awam menbantu mengangkat motosikal mangsa yang terjatuh ke dalam terusan tengah MADA, Titi Dua Lapis, Pendang. – Foto; NSTP

“Mangsa terkapai-kapai meminta pertolongan dan cuba dibantu orang awam yang berada di sekitar tempat kejadian tetapi ketika itu arus deras menyebabkan mangsa gagal diselamatkan dan tenggelam,” katanya di sini hari ini.

Arriz Sham berkata, pihak polis dari Balai Polis Pendang digerakkan ke tempat kejadian dan mayat mangsa kemudian dibawa ke darat dengan bantuan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pendang.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua BBP Pendang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezani, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian  jam 7.32 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Pendang tiba di lokasi melakukan pencarian dan menemui mayat mangsa jam 8.26 malam.

Loading...
Terkini