LENGGONG: Seorang lelaki berusia 32 tahun ditemui lemas di dalam kolam tadahan di ladang durian di Ladang Ayer Kala di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, Farizul Anuar Razali, berkata panggilan diterima pihaknya jam 4.17 petang semalam yang memaklumkan mengenai kehilangan mangsa di kolam tadahan terbabit.
Katanya, mayat mangsa dijumpai 11.21 malam tadi, pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi dia dipercayai jatuh ke kolam berkenaan.
“Keadaan mangsa yang disyaki lemas adalah berdasarkan kepada penemuan topi dan selipar miliknya di dalam kolam tadahan itu manakala lori yang dipandu oleh mangsa masih berada di parkir di lokasi kejadian.
“Operasi mencari mangsa dilakukan secara carian di permukaan (surface searching) serta penyelaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum berhasil menemukan mangsa,” katanya malam tadi.