comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki kurang siuman didakwa punca kebakaran flat

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Kebakaran rumah di tingkat tiga Flat Padang Tembak, di sini pagi tadi mencetuskan situasi panik di kalangan penghuni sebelum pasukan bomba dan penyelamat bertindak pantas mengawal kebakaran.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.07 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong tiba di lokasi.

“Kebakaran melibatkan satu unit rumah flat di tingkat tiga dengan anggaran keluasan 20 x 40 kps dan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran semasa 50%.

“Kerja-kerja pengawalan dan pemadaman masih dijalankan dan operasi pemadaman juga turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tiada mangsa terbabit dalam kebakaran itu.

Sementara itu, hantaran di laman media sosial mendapati penghuni flat berkenaan mendakwa seorang lelaki dipercayai kurang siuman mencetuskan kebakaran itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata punca kebakaran akan disiasat Unit Siasatan Forensik JBPM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini