KUANTAN: Seorang lelaki warga Kemboja yang dilaporkan hilang semasa menjala ikan bersama dua rakannya di Sungai Mati, Tanjung Putus di sini semalam, ditemui lemas tengah hari tadi.
Ketua Polis Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa Sary Tolos, 26, yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kenderaan di Indera Mahkota di sini, ditemui terdampar di tebing sungai pada 12 tengah hari kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.
Beliau berkata dalam kejadian pada 8 malam Sabtu itu, mangsa dan seorang daripada rakannya dilaporkan telah turun ke sungai untuk melepaskan jala mereka yang tersangkut.
“Semasa berada di dalam air, rakannya itu yang menunggu di tepi sungai melihat Sary tenggelam secara tiba-tiba dan terus hilang dalam kocakan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Zahari berkata rakan mangsa mendakwa melihat kelibat ekor buaya di lokasi mangsa tenggelam, sebelum bergegas ke Balai Polis Kuantan untuk melaporkan kejadian terbabit.
Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan penemuan mayat mangsa, polis menolak dakwaan kemungkinan diserang buaya kerana mayat ditemui dalam keadaan sempurna.
Menurutnya mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.