Tumpuan :
Nasional

Lelaki jatuh sungai ketika menjala ditemui terapung

Foto Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR: Selepas 48 jam, mayat seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Seksyen 5, Taman Indah Jaya, Bandar Baru Bangi dekat sini, kelmarin ditemui sebentar tadi.

Mayat mangsa ditemui terapung oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di sebuah lokasi dianggarkan sejauh 18 kilometer dari lokasi asal, dan berjaya dibawa naik ke darat, kira-kira jam 9.35 malam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata proses membawa naik mayat mangsa dijalankan sepasukan anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA).

“Waris mangsa dimaklumkan dan mereka mengesahkan bahawa mayat itu adalah ahli keluarga mereka yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai, kelmarin.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau berkata, laporan mengenai kejadian menimpa mangsa diterima jam 9.18 malam kelmarin sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi digerakkan ke lokasi.

“Rakan mangsa memaklumkan mangsa terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan aktiviti menjala ikan.

“Mangsa adalah seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Fauzan berusia 23 tahun,” katanya.

Menurut Wan Razali, bermula dari hari mangsa dilaporkan hilang, pihak bomba melakukan pencarian menggunakan pelbagai teknik termasuk selaman di tempat mangsa dilaporkan terjatuh serta pencarian permukaan di tebing sungai selain menggunakan khidmat anjing pengesan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini