Tumpuan :
Nasional

Lelaki jatuh sungai ditemukan lemas

Foto hiasan

MACHANG: Lelaki yang yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Maka Joh, Labok, pada Rabu lalu, ditemukan lemas, hari ini.

Mayat mangsa, Muhammad Khairul Naeim Che Deraman, 29, ditemui oleh pasukan bomba kira-kira jam 4.30 petang selepas operasi pencarian yang berlangsung selama tiga hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Alfarra Mohamad Zin berkata, mangsa ditemui kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasinya terjatuh.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.38 petang,” katanya.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Nurul Erni Nazira Komazidin, 25, berkata, pihak keluarga kini berada di Hospital Machang bagi melakukan prosedur sebelum jenazah boleh dituntut.

“Jenazah bapa saudara saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maka Joh selepas semua urusan diselesaikan,” katanya.

Media semalam melaporkan, hasil siasatan awal yang dijalankan bersama penduduk sekitar tempat kejadian mendapati kali terakhir mangsa dilihat berada di tebing sungai Kampung Maka Joh, Labok sebelum dia dilaporkan hilang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa membabitkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Machang, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini