SIBU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika turun ke Sungai Rajang ketika mengangkat barang ke dalam bot ditemukan lemas jam 8.40 pagi tadi.
Mayat mangsa, Hii Kee Soon, 48, ditemui terapung oleh orang awam kira-kira 9.6 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh di Sungai Batang Igan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi PGO Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JPBM Sarawak berkata, bomba menerima pangilan kecemasan mengenai kejadian sekitar jam 12.26 tengahari Sabtu lalu sebelum mengarahkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat BBP Sibu untuk ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat SAR.
“Pada hari kejadian, saksi memaklumkan mangsa hanya memakai seluar pendek dan baju berwarna hitam sedang mengangkat barang-barang ke dalam bot ekspres sebelum terjatuh ke dalam sungai,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi pencarian pada hari pertama dilakukan pada radius satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh dan turut disertai pasukan Polis Marin namun gagal menemui mangsa.
Katanya, radius pencarian pada hari kedua diperluas kepada 5 kilometer ke hilir Sungai Rajang turut gagal menemui mangsa.
“Pada jam 8.40 pagi tadi iaitu pada hari ketiga operasi, Komander Operasi menerima maklumat penemuan mangsa oleh orang awam di Sungai Batang Igan iaitu 9.6 kilometer dari mangsa dilaporkan terjatuh Sabtu lalu.
“Komander Operasi telah mengarahkan satu bot penyelamat bomba bersama satu bot Polis Marin untuk ke lokasi penemuan mangsa dan mayat dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) dan tiba di PKB jam 9.20 pagi tadi,” katanya.
Mayat mangsa kemudian diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sekitar jam 9.37 pagi tadi.