Tumpuan :
Nasional

Lelaki hilang sejak Khamis, ditemui lemas di Sungai Perak

Anggota bomba menemui mayat lelaki yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu di Sungai Perak, hari ini.- FOTO JBPM 

Oleh: Kumaran Rajamoney

PARIT: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ditemukan lemas di Sungai Perak di sini, kira-kira 4.30 petang tadi.

Mangsa, Rusidi Nor, 43, disedari hilang oleh keluarganya selepas polis menjumpai motosikalnya yang kehabisan minyak dan ditinggalkan di kawasan Changkat Parah.

Abang mangsa, Roslan, 55, memaklumkan mangsa yang mempunyai masalah gangguan mental tinggal seorang diri di Teluk Sareh sejak berpisah dengan isterinya.

“Saya dimaklumkan mengenai kehilangan adik saya oleh pihak polis sekitar jam 9 malam selepas menemukan motosikalnnya. Usaha mencari adik saya dimulakan selepas pihak polis menjumpai selipar miliknya berhampiran sungai.

“Operasi mencari yang digerakkan bersama pasukan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kemudian membawa kepada penemuan mayat adik saya,” katanya.

Usaha pencarian dijalankan dengan menggunakan bantuan Unit K-9 anjing pengesan JBPM.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Seri iskandar untuk dibedah siasat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini