Tumpuan :
Nasional

Lelaki hilang ketika berenang seberang sungai

Foto hiasan

KUCHING: Hasrat seorang lelaki balik ke rumah sewanya di Ngemah, Kanowit untuk makan tengah hari tidak kesampaian apabila dia dikhuatiri lemas hari ini.

Mangsa, Mohamad Hamizan Reduan, 25, dikatakan berenang menyeberangi sungai untuk ke rumah sewanya di Rumah Panjang Manggin, Nanga Buan, Ngemah di Kanowit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, berdasarkan keterangan saksi, ketika sedang berenang ke seberang sungai, mangsa tiba-tiba hilang dari pandangan.

“Mangsa dikatakan tenggelam ketika berada di tengah sungai dan paras air ketika itu cukup tinggi berikutan air pasang besar dan hujan lebat di kawasan hulu sungai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.50 tengah hari.

“Sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit diarah ke lokasi yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai.

“Setibanya di pekan Ngemah, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menaiki dua bot untuk ke lokasi seterusnya mengaktifkan operasi pencarian,” katanya.

Sehingga jam 5 petang ini, operasi SAR belum mengesan mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini