comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki hilang dihanyut arus deras di Lata Sedim ditemui lemas

FOTO: Ihsan Bomba



KULIM: Lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakan-rakannya di air terjun Lata Sedim, sejak kelmarin akhirnya ditemui lemas hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, mangsa, P Thineswaran, 31, ditemui pada jam 6.38 petang tadi pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Pusat Kawalan Bomba (PKB) Sedim ditutup sepenuhnya pada jam 8.30 malam ini dan operasi SAR mencari mangsa tamat sepenuhnya jam 8.53 malam.



“Operasi hari ini membabitkan polis, anggota BBP Kulim Hi Tech, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Sungai Petani, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pasukan water rafting, malim gunung dan penduduk kampung.

“Selain itu operasi turut disertai Unit Anjing Pengesan (K-9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 31 tahun dikhuatiri lemas ketika sedang mandi dan beriadah bersama beberapa rakannya di kawasan perkelahan Sedim, di sini, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik namun keadaan air agak deras disebabkan hujan di kawasan hulu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi sebelum ini mengesahkan kejadian itu dan mangsa dipercayai hilang dihanyutkan arus deras, sejak Ahad lalu.

Beliau berkata, mangsa yang juga pekerja kilang dari Bayan Lepas, Pulau Pinang itu dipercayai pergi ke pusat peranginan itu bersama 14 rakannya serta seorang kanak-kanak untuk mandi di situ.

Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.52 petang semalam melalui panggilan MERS 999 selepas mendapati mangsa dihanyutkan arus deras sebelum operasi SAR mencari mangsa dilakukan pada hari kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini