Tumpuan :
Nasional

Lelaki hilang cari kayu untuk tiang pancang bendera ditemui maut

Lelaki yang hilang ketika mencari kayu untuk dijadikan tiang bendera di Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah, semalam ditemui meninggal dunia, hari ini. – Foto Ihsan JBPM

KUCHING: Hasrat seorang lelaki  keluar mencari kayu di hutan dekat Jalan Airport, Tanjung Manis di Mukah, semalam untuk dijadikan tiang pancang bendera bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia tidak kesampaian apabila dia ditemui meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Affendi Morsidi, 55, sebelum itu dilaporkan hilang oleh keluarganya apabila dia tidak pulang ke rumah selepas keluar dari rumah jam 11 pagi untuk ke kawasan hutan di tepi jalan itu.

Keluarganya membuat laporan di Balai Polis Tanjung Manis jam 6.50 petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer dari jalan utama pada jam 11.40 pagi tadi.

Menurutnya, pasukan SAR mengangkat mangsa ke pusat kawalan bomba (PKB) dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Operasi SAR hari kedua hari ini bermula 8.45 pagi dengan radius pencarian dalam jarak satu kilometer dari PKB.

“Sejurus mangsa disahkan sudah meninggal dunia, mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

SAR  membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Loading...
Terkini