KUANTAN: Seorang lelaki berusia 55 tahun yang dilaporkan hilang sejak 13 Disember lepas ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di kawasan parkir berhampiran sebuah restoran di Sungai Isap, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Safri Mohd Ali yang beralamat di Kampung Hijrah di sini, dijumpai orang awam di dalam kereta Perodua Viva kira-kira 4 petang tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, sejurus menerima maklumat, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang serta petugas kesihatan telah ke lokasi kejadian dan kematian Safri kemudian telah disahkan oleh penolong pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Pemeriksaan di dalam kenderaan turut menemukan kad pengenalan, telefon bimbit dan beg galas milik Safri.
“Mayat Safri dibawa ke Jabatan Forensik HTAA untuk bedah siasat dan proses pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal polis setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
Safri sebelum ini dilaporkan hilang sejak keluar dari rumah kira-kira 8 pagi 13 Disember lalu dengan memandu kereta Perodua Viva untuk mengambil ubat di Klinik Kesihatan Kampung Kurnia, di sini.
Laporan kehilangannya dibuat adiknya pada 14 Disember di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. — BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.