Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipercayai lemas ditemukan selepas hilang keluar mencari mencari siput di kawasan pantai, Kampung Kebagu, Manggatal, Kota Kinabalu, malam tadi.
Mangsa dikenali Marwah Jamiri, 45, dijumpai pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada jam 11.27 pagi di kawasan perairan berhampiran Kg Wak-Wak sejauh 2.5 batu nautika dari jarak mangsa dilaporkan hilang.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dijalankan dengan kaedah Water Surface oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan Bot Penyelamat di kawasan pantai di lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Laporan dari pihak polis, mangsa berjaya dijumpai oleh pihak TLDM pada jam 11.27 pagi di kawasan perairan berhampiran Kg Wak-Wak sejauh 2.5 batu nautika dari jarak mangsa dilaporkan hilang,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 pagi.
Terdahulu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan pada jam 6.14 pagi.
Mangsa dikatakan keluar ke kawasan pantai berkenaan bersama bapa mertua dan seorang rakannya, kira-kira jam lapan malam.
Bagaimanapun, ketika hendak pulang kira-kira jam 9.30 malam, mangsa disedari hilang dan usaha mencari yang dijalankan ahli keluarga juga gagal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.