KUCHING: Juruteknik talian elektrik yang dilaporkan hilang ketika berenang menyeberangi Sungai Buan, di Ngemah, Kanowit, semalam ditemukan lemas, hari ini.
Mayat mangsa Mohamad Hamizan Reduan, 25, ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak di dasar sungai itu pada jam 11.34 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, mayat mangsa ditemui pada selaman keenam di kedudukan kira-kira tiga meter dari lokasi terakhir dia dilihat berenang, semalam.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Seramai tujuh anggota PPDA terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua hari ini.
“Tumpuan pencarian meliputi radius sembilan meter keliling di lokasi terakhir mangsa dilihat semalam dan enam selaman dilakukan sehinggalah mayat mangsa ditemukan di dasar sungai itu,” katanya.
Mangsa dikatakan berenang menyeberangi sungai untuk balik ke rumah sewanya di Rumah Panjang Manggin, untuk makan tengah hari.
Berdasarkan keterangan saksi, ketika berenang menyeberangi sungai itu, mangsa tiba-tiba hilang dari pandangan kira-kira jam 1 tengah hari.
Mangsa dikatakan tenggelam ketika berada di tengah sungai dan paras air ketika itu cukup tinggi berikutan air pasang besar dan hujan lebat di kawasan hulu sungai.
Bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.50 tengah hari semalam, menghantar sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit ke lokasi yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai.
Operasi SAR diperhebatkan hari ini dengan penyertaan tujuh anggota PPDA.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.