LANGKAWI: Seorang lelaki ditemui lemas hari ini selepas dilapor keluar mencari siput berhampiran Titi Nelayan di Kampung Bukit Malut, lewat petang semalam.
Mayat mangsa Shaarani Ghazali, 32, ditemui orang awam kira-kira 10 meter dari tempat dia dipercayai turun ke laut.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mayat mangsa ditemui terapung dan hanya berseluar hitam berserta satu plastik yang berisi siput.
“Adik kandung mangsa dikenali Saodi mengesahkan identiti si mati, manakala pengesahan kematian dibuat oleh petugas perubatan yang tiba di tempat kejadian.
“Mangsa dikatakan keluar dari rumah pada jam 7 malam tadi dipercayai untuk mencari siput yang menjadi pekerjaan rutinnya, selain itu mangsa turut memiliki rekod menghidap penyakit sawan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Shariman berkata, pemeriksaan fizikal dijalankan ke atas mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mayat dibawa Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.