Tumpuan :
Nasional

Lelaki ditahan menyamar jadi polis, peras ugut penyeludup minyak bersubsidi

KOTA BHARU: Taktik licik seorang pemuda yang menyamar sebagai anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) membawa padah apabila ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 11 pagi kelmarin di sebuah rumah di Taman Sri Neting, Tumpat.

Tidak hanya menjalankan penyamaran, suspek berusia 31 tahun itu turut memeras ugut kumpulan penyeludup minyak bersubsidi di sekitar Pengkalan Kubor.

Pemuda itu dikatakan akan menahan penyeludup terbabit dan meminta imbuhan daripada penyeludup sekiranya mereka tidak mahu ditangkap.

Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang disyaki bergerak sendirian menyamar sebagai anggota PGA berada dalam rumah berkenaan sebelum ditahan.

“Kita turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha di rumah terbabit dan sebuah kereta di rumah berlainan yang disyaki turut digunakan suspek.

Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kereta dan motosikal yang digunakan suspek. NSTP/ Ihsan PGA

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM15,000. Saringan awal ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek dan hasil rampasan diserahkan ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan Gerakan Am akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyamaran dari terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini