Tumpuan :
Nasional

Lelaki ditahan buru hidupan liar dilindungi secara haram

FOTO: PERHILITAN

KUALA LUMPUR: Tembak mati dan sumbat pelbagai daging dan kepala hidupan liar di dalam peti sejuk beku bersaiz besar.

Itu kegiatan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang dikesan aktif memburu hidupan liar dilindungi secara haram menggunakan dua senapang.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan suspek berjaya ditumpaskan tujuh pegawai Perhilitan dibantu sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Kelantan hasil serbuan ke kediaman suspek petang kelmarin.

Menurutnya yang dipetik Harian Metro, dalam serbuan jam 5.30 petang itu, pihaknya menemui peti sejuk beku di kediaman suspek.

“Pemeriksaan kemudian menemui tiga kepala haiwan dipercayai kepala kijang di dalam peti sejuk itu.

“Turut ditemui 65 bahagian daging disyaki hidupan liar yang diburu suspek,” katanya.

Susulan itu pemeriksaan turut dilakukan ke atas pacuan roda milik suspek diletakkan di hadapan kediamannya.

“Pihak kami kemudian menemui dua laras senapang model Barreta selain 171 butir peluru hidup dipercayai digunakan untuk memburu hidupan liar.

“Kesemua bahagian hidupan liar, peti sejuk beku, pacuan empat roda serta senjata api dianggarkan bernilai hampir RM100,000 berkenaan kemudian disita.

Beliau berkata, suspek turut ditahan untuk disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

“Operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan pihak Perhilitan bagi membenteras kegiatan pemburuan haram haiwan liar dilindungi.

“Orang awam yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan sebarang kes boleh menghubungi talian hotline Jabatan Perhilitan 1-800-88-5151,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini