comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki ditahan, bawa 100 kotak lobak merah tidak sah

FOTO: APMM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas didapati membawa 100 kotak lobak merah tanpa kebenaran menerusi Op Pluto Timur dan Op Tiris di Muara Sungai Aji Kuning, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya bertindak menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas barang yang dibawa.

FOTO: APMM Sabah

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bertindak sebagai juragan bot berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas sebuah bot penumpang yang membawa muatan 100 kotak lobak merah itu mendapati seorang nakhoda lelaki warga tempatan berumur 37 tahun gagal mengisytiharkan muatan yang dibawa dan melanggar syarat sah lesen bot penumpang,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Dalam kejadian berasingan, bot peronda APMM mengesan sebuah lagi bot pam yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar Perairan Wallace Bay pada jam 11.40 pagi.

FOTO: APMM Sabah

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 1.17 batu nautika timur laut Pulau Sidam itu mendapati seorang lelaki berumur 15 tahun berdasarkan akuan mulut mengendalikan bot tersebut tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan dokumentasi bot juga mendapati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran dan tidak mempunyai lesen bot yang berdaftar,” katanya.

Kedua-dua bot bersama muatan serta kesemua krew terbabit seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk disiasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002, Akta Imigresen 1956/63 dan Akta Kastam 1967.

Kesemua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM45,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini