comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki disyaki dibunuh terlebih dahulu sebelum rumah dibakar

Seorang lelaki dewasa ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah, hari ini. – FOTO: Ihsan Bomba

MANJUNG: Lelaki yang ditemukan rentung dalam kebakaran rumah teres di Taman Muhibbah 2, Sitiawan di sini, hari ini disyaki dibunuh sebelum rumahnya dibakar.

Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemukan dalam keadaan tertiarap di ruang tamu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.39 pagi tadi.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, seorang saksi melihat suspek lelaki yang dikenalinya masuk ke dalam rumah itu sebelum terdengar bunyi hentakan di ruang tamu.

“Suspek kemudiannya dilihat keluar dari rumah dan kembali semula dengan membawa dua bekas mengandungi cecair disyaki petrol dan meninggalkan rumah sebelum saksi menyedari kebakaran.

“Polis berjaya menahan suspek berhampiran dengan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama tujuh hari hingga 1 Oktober depan untuk membantu siasatan.

“Bedah siasat ke atas mayat akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Permaisuri Raja Bainun, Ipoh,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05- 688 6222 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki ditemukan rentung di ruang tamu sebuah rumah, manakala tujuh ahli keluarga mangsa selamat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini