Tumpuan :
Nasional

Lelaki disyaki bakar ibu direman 7 hari

Oleh: Selwam Arjunan

ALOR SETAR: Lelaki yang dipercayai mengamuk dan membakar ibunya di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini, semalam ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah di Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Suspek direman bermula hari ini sehingga 9 Mac untuk membantu siasatan bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, suspek yang juga pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) mental itu dibawa polis ke lokap mahkamah pada jam 8.30 pagi.

Difahamkan, suspek dipercayai mengalami masalah mental sejak 2019 yang dipercayai akibat masalah keluarga.

Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki dipercayai mengamuk sebelum membunuh ibunya sendiri yang ditemui dengan kesan terbakar di sebuah rumah kediaman di Jalan Tok Keling, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan, menahan suspek di berhampiran rumah terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini