BALING: Seorang pekerja sebuah kedai makan cedera di kaki kanan selepas dipatuk seekor ular tedung senduk yang menyusup masuk ke kedai itu, di sini, hari ini.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 40-an itu sedang tidur di sebuah bilik di kedai itu apabila tiba-tiba dia terasa sakit di bahagian kaki kanannya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4 petang tadi berkaitan kes khidmat khas tangkapan ular.
“Ular itu bertindak agresif namun anggota kami menggunakan peralatan khas dan berjaya menangkapnya,” katanya.
Menurut mangsa, ketika kejadian kedai makan tempat beliau bekerja itu masih belum dibuka.
Mohd Faizol berkata mangsa kemudian dihantar ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata ular tedung senduk sepanjang dua meter itu kemudian dibawa ke pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah untuk tindakan lanjut.
Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan keadaan sekeliling ketika keadaan cuaca yang tidak menentu ini.
“Sentiasa peka dengan keadaan dalam rumah kerana ular biasanya akan berlindung di tempat sejuk dan tersorok seperti dalam bilik, bilik air, bawah katil, bawah sofa dan akan menyerang jika terancam,” katanya.