KOTA BELUD: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh, di sini kelmarin, ditemukan lemas tengah malam tadi.
Mangsa Noordin Punjuh, 51, ditemui penduduk kampung jam 12.56 tengah malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syazwan Latun berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama dipecahkan kepada tujuh kumpulan.
Katanya, pasukan operasi terdiri daripada bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan (RELA) dan penduduk kampung.
“Anggota operasi menggunakan teknik pencarian pada permukaan (surface searching) menggunakan bot.
“Selain itu, pencarian di kawasan tebing sungai dan pencarian menggunakan bot dan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilakukan dengan jarak keseluruhan lapan Kilometer,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya ditemui penduduk kampung pada jarak 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mangsa dikatakan keluar rumah untuk menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang, kira-kira jam 11 pagi kelmarin.
Bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah dan kira-kira jam 8 malam kelmarin, adik mangsa mencari di sekitar sungai namun hanya menemukan jala, beg pinggang, telefon bimbit, selipar dan baldi dipercayai milik mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.