KOTA BHARU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke dalam Sungai Golok ketika cuba melarikan diri daripada operasi polis di Kampung Pulai, Pasir Mas pada 8 malam semalam.
Ketika kejadian mangsa Mohd Yuki Mohd Yusoff, 41, dikatakan terjun ke dalam sungai tersebut dan tidak dapat dikesan.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Azmi Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kehilangan lelaki itu pada 3.17 pagi tadi.
“Kami membuka bilik gerakan di Pos PGA Pulai sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat pada 3.55 pagi. Operasi ditangguhkan pada 4.10 pagi dan disambung semula 8 pagi tadi.
“Sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas menyertai operasi itu pada awal pagi, manakala 19 anggota ditambah pada operasi seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pencarian dijalankan di tebing dan permukaan sungai selain melakukan selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pengkalan Kubor, Tumpat.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa