SHAH ALAM: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian isterinya, minggu lalu.
Tertuduh, Izzat Saat, 38, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Farah Rosnan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, Izzat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap didakwa dengan niat telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Nurul Qurraisyia Zulkafli, 33.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dengan minimum 12 sebatan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 10.30 malam hingga 10.30 pagi pada 14 hingga 16 Disember di sebuah rumah di Seksyen 32 dekat sini.
Majistret menetapkan sebutan semula, pengurusan kes dan penyerahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat pada 19 Februari depan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saidah Fasihah Che Yussoff sementara tertuduh diwakili peguam Rezal Mazli Abdul Muin.
Media sebelum ini melaporkan seorang pensyarah sebuah kolej di Miri, Sarawak maut dipercayai dipukul menggunakan dumbel oleh suaminya akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, Bukit Rimau pada awal pagi, 15 Disember lalu.
Mangsa pulang untuk bercuti dan meraikan majlis perkahwinan adik iparnya.