TUMPAT: Bunyi ciapan daripada bekas plastik yang disembunyikan di bawah timbunan beg pakaian membongkarkan penyeludupan tiga burung ketitir.
Cubaan menyeludup tiga haiwan itu dibuat pada 14 Februari lalu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor.
Seorang lelaki warga Thailand ditahan pasukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) ketika pemeriksaan itu.
Ketua Pintu Masuk MAQIS Pengkalan kubor, Mohd Ariwadi Mohd Salleh berkata, lelaki yang berusia sekitar 50-an itu memandu keretanya kira-kira jam 3 petang dan melalui ICQS sebelum ditahan pihak berkuasa yang menjalankan pemeriksaan.
“Semasa pemeriksaan dilakukan, satu sangkar burung ditemukan dalam bonet kenderaan itu.
“Pemeriksaan lanjut juga menemui sebuah bekas plastik yang dilapisi span di atasnya sebelum ditimbun dengan beg pakaian.
“Sebaik pihak kami mengangkat beg berkenaan, terdengar bunyi ciapan daripada dalam bekas itu yang mana ada tiga ekor burung ketitir yang dianggarkan bernilai RM6,000,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mohd Ariwadi berkata, haiwan hidup itu cuba dibawa masuk tanpa permit MAQIS yang sah serta sijil kesihatan veterinar dan dikhuatiri terdapat penyakit selesema burung.
Katanya, tindakan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta 728.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.